Saya dilahirkan di Klang, Selangor pada tahun 1993. Saya dibesarkan di Kuala Terengganu selama 14 tahun. Ayah saya merupakan anak jati Terengganu manakala ibu saya adalah anak kelahiran Kelantan yang menetap di Selangor. Saya mendapat pendidikan sekolah rendah di SK Seri Budiman, Kuala Terengganu dan melanjutkan pelajaran ke SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.
Pada tahun 2007, keluarga saya berpindah ke Selangor kerana ingin merasakan 'angin baru'. Ketika itu saya berada di Tingkatan 2. Saya kemudian ditukarkan sekolah ke SMK Tengku Ampuan Jemaah, Pelabuhan Klang.
Usai Sijil Pelajaran Malaysia, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor dalam jurusan Diploma Pengajian Perniagaan selama 3 tahun. Saya dilantik sebagai Timbalan Presiden Kelab Usahawan UiTM Johor. Sewaktu Semester 3, saya ditawarkan untuk menjadi Pengerusi Koperasi Siswa UiTM Cawangan Johor Berhad dan saya menerimanya dengan hati yang terbuka.
Pada tahun 2013, saya dipilih untuk menjadi Setiausaha Persatuan Alumni SMK Tengku Ampuan Jemaah. Seterusnya pada tahun yang sama juga saya dilantik sebagai Presiden Persatuan Belia Bersatu Klang. Saya mula bekerja sebagai Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Johor pada Julai 2016.
Kini, saya fokus kepada beberapa operasi khidmat masyarakat yang boleh disalurkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Saya pasti bahawa ramai diluar sana yang sangat memerlukan bantuan, dan belia lah yang perlu menggerakkan misi bantuan kemanusiaan ini.
Blog adalah salah satu cara saya untuk mendekatkan diri kepada masyarakat atas dasar kesedaran bahawa penggunaan ICT sekarang ini menjadi keutamaan kepada masyarakat Malaysia. Saya sangat berharap agar mesej-mesej yang dibawa di dalam blog ini akan dapat didengari oleh khalayak yang besar.