Pada 10 Oktober 2014
yang lalu, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Sri
Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah membentangkan Bajet 2015 pada siding Parlimen.
Beberapa aspek diberi penekanan oleh YAB Perdana Menteri antaranya bajet yang
khusus untuk golongan belia melalui pembangunan Program Transformasi Belia.
Memandangkan
golongan belia di Malaysia merangkumi sejumlah 65 peratus daripada jumlah
penduduk di Malaysia, langkah YAB Perdana Menteri memberi penekanan kepada
golongan belia menunjukkan Kerajaan Malaysia sebenarnya prihatin kepada
golongan majoriti ini.
Antara yang disentuh
oleh YAB Perdana Menteri pada Bajet 2015 yang lalu berkenaan belia merangkumi
empat (4) perkara antaranya :
i)
Pelan Transformasi Belia Negara;
ii)
1Malaysia Youth City;
iii)
Skim Perumahan Belia;
iv)
Blueprint Negara Bersukan
Melalui Pelan
Transformasi Belia Negara, YAB Perdana Menteri memperuntukkan RM320 juta bagi
membiayai program ini untuk digunakan bagi tujuh (7) tujuan iaitu; pengkajian
semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), penambahbaikan program Rakan Muda
dan pengenalan Kem Uniti, memperkukuhkan kepimpinan belia melalui pengenalan
program Akademi Kepimpinan Belia, mempergiatkan program kesukarelawan belia
seperti 1M4U dan pengenalan program MyCorp, menggilap bakat keusahawanan dalam
kalangan belia melalui Program MaGIC, SME Bank dan Agro Bank, melaksanakan
Program Agropreneur Muda dan yang terakhir meningkatkan keupayaan dan kemahiran
belia melalui Program Transformasi IKBN, Program Coding Bootcamp dan
Projek Angkat dan Upaya (PADU).
Kerajaan juga memperuntukkan
bajet sebanyak RM100 juta untuk mewujudkan 1Malaysia Youth City iaitu
dengan menyediakan satu ekosistem yang komprehensif yang bakal disertai oleh
belia bagi meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan
serta dapat menikmati kemudahan perumahan dan rekriasi.
Pihak kerajaan
dilihat prihatin kepada belia dengan menyediakan skim pemilikan rumah pertama
kepada belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapat isi
rumah tidak melebihi RM10,000. Peruntukan ini memakan belanja sebanyak RM500
ribu. Selain itu, dibawah Skim Perumahan Belia ini juga, kerajaan
memperuntukkan RM200 sebulan untuk tempoh 2 tahun pertama bagi mengurangkan
beban ansuran bulanan pinjaman perumahan. Pengecualian sebanyak 50 peratus duti
setem juga dikenakan
Kerajaan juga tidak
ketinggalan memperuntukkan RM103 juta untuk membiayai pelaksanaan-pelaksanaan
program ke arah mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.
Namun begitu, agenda-agenda
yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan ini dilihat terlalu terbuka kepada semua
lapisan belia termasuklah belia yang langsung tidak bergiat aktif di dalam
mana-mana persatuan belia dan mengharap subsidi dan bantuan dari pihak Kerajaan
semata-mata.
Pihak Persatuan Belia Bersatu Klang mencadangkan pihak Kerajaan untuk
memberi keutamaan kepada golongan belia yang berpersatuan untuk menerima
bantuan yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan kepada golongan belia.
Sekurang-kurangnya golongan belia yang aktif mendapat manfaat dan perhatian
oleh pihak Kerajaan dan penat lelah mereka membantu pihak Kerajaan dalam
program-program bagi memperkasakan golongan belia di Malaysia ini dilihat dan
dinilai oleh pihak Kerajaan.
Dalam masa yang
sama, cadangan ini juga bakal menarik lebih
ramai belia untuk menyertai persatuan-persatuan belia dan dalam masa yang sama
dapat membantu pihak Kerajaan untuk memperkasakan agenda Program Pembangunan
Pelan Transformasi Belia seperti yang disentuh oleh YAB Perdana Menteri pada
Bajet 2015 yang lalu.
Kita ingin melihat
sekurang-kurangnya 40 peratus daripada golongan belia di Malaysia adalah antara
mereka yang aktif berpersatuan dan mereka yang aktif menyuarakan pandangan yang
bernas untuk pemantapan golongan belia di Malaysia. Kerajaan perlu sedar,
golongan belia di Malaysia ini akan menerajui kepimpinan tertinggi akan datang.
Jadi, sekiranya mereka tidak berpersatuan dari sekarang, Malaysia akan
ketandusan pemimpin-pemimpin yang dapat berjuang untuk agama, bangsa dan tanah
air. Justeru untuk menarik minat belia untuk menyertai persatuan. Kerajaan
seharusnya menerima pandangan ini dengan
mendahulukan dan memberi keutamaan kepada belia-belia yang aktif berpersatuan
untuk diberi bantuan.
MUHAMMAD AKMAL RIDZUAN ABD RAHIM
Presiden
Persatuan Belia Bersatu Klang