Saturday, 26 July 2014

RAMADHAN DIHAYATI SYAWAL DIRAI


Assalamualaikum w.b.t.

1. Di kesempatan ini saya mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali saya selama ini. Maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki sekiranya dalam perkenalan kita saya ada melakukan sebarang kesilapan yang disengajakan mahupun tidak disengajakan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

2. Pada lebaran kali ini, umat Islam pastinya bersedih dengan kisah-kisah yang berlaku di Gaza, Palestin. Sesungguhnya kami dari barisan kepimpinan Persatuan Belia Bersatu Klang mengutuk dan mengecam kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Tindakan tidak perikemanusian yang dilancarkan oleh rejim Zionis itu seolah-oleh menunjukkan bahawa dunia ini milik mereka dan tiada sebarang peraturan atau undang-undang yang dapat menyekat mereka dari berbuat perkara yang mereka inginkan.

3. Baru-baru ini juga, kita dikejutkan dengan serangan terhadap pesawat Boeing 777 MH 17 milik Malaysian Airlines yang dilancarkan oleh pihak pemberontak. Kita masih belum temui pesalah yang benar-benar bersalah dalam hal ini. Memang benar, dunia kita perlu memikirkan keamanan sejagat. Tiada sebarang faedah diperoleh daripada peperangan sebaliknya hanya akan membebankan dan menjadikan orang lain yang tidak bersalah sebagai mangsa sahaja. Seolah-olah benar kata pepatah "gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah". Sehubungan itu, pihak Persatuan Belia Bersatu Klang sekali lagi mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya pesalah dalam hal ini. Kami melihat bahawa dalam hal ini, pihak kerajaan Malaysia telah melakukan tindakan yang sangat berani dan dihormati oleh seluruh pelusuk dunia apabila dengan tegas meminta supaya kotak hitam milik pesawat itu dikembalikan untuk siasatan lanjut. Kita juga hampir mencapai sasaran untuk membawa kembali mayat-mayat nahas untuk dikebumikan sebelum menjelang Aidilfitri. InsyaAllah, sama-sama kita nantikan. Semoga Allah merahmati usaha YAB Dato' Sri Najib Tun Razak beserta kepimpinan belia untuk menyelesaikan masalah ini dan dalam masa yang sama tidak juga kita lupakan kepada pesawat Boeing 777 MH 370 yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

4. Menyambut Aidilfitri merupakan syariat yang diperintahkan oleh Allah bagi merai kemenangan kita berjuang selama satu bulan dalam bulan Ramadhan. Kita dapat menahan diri daripada melakukan kemungkaran dan banyak beramal ibadat. Diharapkan bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tapi perkara ini akan terus berpanjangan sehingga ke bulan-bulan yang lain. Dalam menyaksikan hampir semua rumah terbuka hari raya dibatalkan dan ditangguhkan antaranya Rumah Terbuka Hari Raya YAB PM pada 1 Syawal dibatalkan, Rumah Terbuka YAB TPM pada 2 Syawal ditangguhkan dan Rumah Terbuka YAB MB Selangor pada 1 Syawal juga dibatalkan bagi mengenang nasib pesawat MH 17 yang baru sahaja menjadi titik hitam dalam sejarah Malaysia. Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia untuk lebaran kali ini hendaklah kita raikan dengan kadar sederhana bagi sama-sama turut mengenang nasib yang menimpa mereka.

5. Tak dapat saya bayangkan bagaimana ibu bapa, adik beradik, suami, isteri, anak-anak, saudara mara terdekat mangsa-mangsa MH 17 dan MH 370 beraya pada tahun ini tanpa orang tersayang. Namun begitu, yang pergi akan tetap pergi dan saya percaya orang yang bersalah akan dihukum dan diheret ke muka pengadilan tidak berapa lama sahaja lagi.  Kepada syarikat Malaysia Airlines, kami rakyat Malaysia akan sentiasa bersama dan menyokong MAS.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

6. Sekali lagi, saya mewakili Persatuan Belia Bersatu Klang mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Minal Aidil Wal Faizin. Semoga segala perit getir dalam negara kita kini dapat menjadi asbab untuk kita kembali bersatu dalam semangat 1 Malaysia sebagai rakyat Malaysia.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.