Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t.
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon STPM 2013 kerana berjaya melonjakkan prestasi STPM sehingga 10.73%. Satu peningkatan yang sangat menarik. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya dan yang kurang berjaya, jangan risau, peluang masih terbentang luas untuk anda. Kejayaan seseorang itu terletak kepada kemahuan diri mereka sendiri. Gred dan markah bukan penyebab utama.
2. Esok akan menjadi hari yang paling besar kepada 470,395 calon SPM 2013. Tidak ketinggalan yang akan turut sama tidak lena tidur pada hari ini adalah guru-guru yang mengajar subjek SPM yang masing-masing mengejar KPI sekolah masing-masing. Pastinya, sekiranya guru tidak mencapai tahap KPI yang ditetapkan sekolah, guru tersebut perlu membuat laporan kepada pihak sekolah.
3. Kepada calon SPM 2013, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan beberapa perkara, antaranya, sekiranya anda mendapat keputusan yang kurang cemerlang, usahlah berhenti berharap dan belajar. Sayang. Cari ilmu. Banyak peluang untuk anda di luar sana. Pusat kemahiran, Giat Mara, Politeknik, Tingkatan 6, UiTM, Kolej-kolej banyak lagi yang sanggup menerima pelajar walaupun keputusan mereka kurang memberangsangkan.
4. Berdasarkan pengalaman rakan-rakan, ramai yang berhenti setakat SPM kerana mengganggap bahawa sekiranya SPM mereka tak mencapai sasaran keperluan untuk memasuki universiti, kolej atau politeknik, jadi tak perlu lagi untuk mereka berusaha dan teruskan perjuangan pendidikan mereka. Ini persepsi salah!
5. Timbalah ilmu selagi ada peluang dan masa. Yakinlah bahawa ilmu itu sangat penting. Tapi kadang-kadang kita silap dalam menilai ilmu. Kebanyakan dari kita menilai ilmu berdasarkan gred semata. Kalau dapat A, maknanya pandai. Kalau gagal, maknanya tak pandai. Ini persepsi lapuk yang sudah tak boleh digunapakai. Perlu dibuang dan dibawa oleh aliran air yang deras.
6. Gred itu cuma alat. Ilmu itu yang utama. Jangan bersedih sekiranya gred SPM ada rendah. Pastinya Tuhan hendak menguji kita dengan pelbagai cara. Yakinlah bahawa ada jalan terbentang luas di hadapan mata kita. Terpulang pada diri kita sama ada nak menggapai peluang tersebut atau tidak. Kalau gapai, berjaya, tak gapai, gagal. Semudah itu sahaja.
7. Akhir kata, kepada adik-adik yang akan mengambil keputusan SPM esok terutamanya daripada SMK Tengku Ampuan Jemaah dan SMK Muadzam Shah, saya berharap anda mendapat keputusan seperti anda impikan. Jangan bersedih jika tidak seperti yang diimpikan. Peluang masih ada. Usaha tangga kejayaan!
Sekian, terima kasih.