Thursday, 27 November 2014

KERAJAAN NEGERI SELANGOR DIHARAP LEBIH PRIHATIN


Pada 23 November 2014 yang lalu, saya telah ditemuramah oleh beberapa orang rakan media untuk memberi pandangan berkenaan dengan tindakan beberapa pihak yang kami anggap menggelapkan peruntukan yang telah diserahkan oleh pihak kerajaan negeri Selangor untuk membaiki bumbung dan tangki air yang telah rosak akibat bencana ribut kuat di Pangsapuri Permai Indah, Pandamaran Jaya pada 21 Oktober 2014.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 1.5 juta untuk membaiki kerosakan ini kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan projek tersebut telah bermula pada 26 Oktober 2014 dan menurut papan tanda projek tempoh kerja adalah dalam kiraan MINGGU. Namun begitu, selepas hampir 1 bulan, hanya kerangka bumbung sahaja yang siap. Dimaklumkan juga, bilangan kontraktor juga ditambah kepada dua.

Hal ini membimbangkan rakan saya, wakil penduduk pangsapuri iaitu Mohamad Adam Prakash dan penduduk lain. Pada pandangan saya, kerajaan negeri Selangor yang diketuai oleh YAB Tuan Azmin Ali pelu lebih prihatin dan memantau projek ini sama ada siap pada waktu nya atau tidak. Saya bimbang penduduk di pangsapuri tersebut terutamanya yang tinggal di tingkat paling atas blok A dan blok B tiada tempat tinggal yang tetap hingga sekarang. Itu belum lagi disentuh berkenaan jalan utama ke pangsapuri ini. Tiada jalan yang utama. Untuk masuk ke pangsapuri ini perlu melalui jalan-jalan berbatu dan berlubang sahaja.

Justeru itu, kami menggesa pihak kerajaan negeri Selangor dan pihak-pihak berkenaan supaya mengambil tindakan segera demi penduduk pangsapuri Permai Indah ini. Ini bukan masa untuk bermain politik. Kita tidak mahu, negeri Selangor yang merupakan negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, mempunyai rakyat yang masih hidup dalam kesusahan seperti ini.

Sekian.