Wednesday, 29 October 2014

BAJET 2015 : PERUNTUKAN UNTUK BELIA DAN CADANGAN KEPADA PIHAK KERAJAAN






Pada 10 Oktober 2014 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah membentangkan Bajet 2015 pada siding Parlimen. Beberapa aspek diberi penekanan oleh YAB Perdana Menteri antaranya bajet yang khusus untuk golongan belia melalui pembangunan Program Transformasi Belia.

Memandangkan golongan belia di Malaysia merangkumi sejumlah 65 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia, langkah YAB Perdana Menteri memberi penekanan kepada golongan belia menunjukkan Kerajaan Malaysia sebenarnya prihatin kepada golongan majoriti ini.

Antara yang disentuh oleh YAB Perdana Menteri pada Bajet 2015 yang lalu berkenaan belia merangkumi empat (4) perkara antaranya :

i)             Pelan Transformasi Belia Negara;
ii)            1Malaysia Youth City;
iii)           Skim Perumahan Belia;
iv)           Blueprint Negara Bersukan

Melalui Pelan Transformasi Belia Negara, YAB Perdana Menteri memperuntukkan RM320 juta bagi membiayai program ini untuk digunakan bagi tujuh (7) tujuan iaitu; pengkajian semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), penambahbaikan program Rakan Muda dan pengenalan Kem Uniti, memperkukuhkan kepimpinan belia melalui pengenalan program Akademi Kepimpinan Belia, mempergiatkan program kesukarelawan belia seperti 1M4U dan pengenalan program MyCorp, menggilap bakat keusahawanan dalam kalangan belia melalui Program MaGIC, SME Bank dan Agro Bank, melaksanakan Program Agropreneur Muda dan yang terakhir meningkatkan keupayaan dan kemahiran belia melalui Program Transformasi IKBN, Program Coding Bootcamp dan Projek Angkat dan Upaya (PADU).

Kerajaan juga memperuntukkan bajet sebanyak RM100 juta untuk mewujudkan 1Malaysia Youth City iaitu dengan menyediakan satu ekosistem yang komprehensif yang bakal disertai oleh belia bagi meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan serta dapat menikmati kemudahan perumahan dan rekriasi.

Pihak kerajaan dilihat prihatin kepada belia dengan menyediakan skim pemilikan rumah pertama kepada belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapat isi rumah tidak melebihi RM10,000. Peruntukan ini memakan belanja sebanyak RM500 ribu. Selain itu, dibawah Skim Perumahan Belia ini juga, kerajaan memperuntukkan RM200 sebulan untuk tempoh 2 tahun pertama bagi mengurangkan beban ansuran bulanan pinjaman perumahan. Pengecualian sebanyak 50 peratus duti setem juga dikenakan

Kerajaan juga tidak ketinggalan memperuntukkan RM103 juta untuk membiayai pelaksanaan-pelaksanaan program ke arah mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Namun begitu, agenda-agenda yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan ini dilihat terlalu terbuka kepada semua lapisan belia termasuklah belia yang langsung tidak bergiat aktif di dalam mana-mana persatuan belia dan mengharap subsidi dan bantuan dari pihak Kerajaan semata-mata.

Pihak Persatuan Belia Bersatu Klang mencadangkan pihak Kerajaan untuk memberi keutamaan kepada golongan belia yang berpersatuan untuk menerima bantuan yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan kepada golongan belia. Sekurang-kurangnya golongan belia yang aktif mendapat manfaat dan perhatian oleh pihak Kerajaan dan penat lelah mereka membantu pihak Kerajaan dalam program-program bagi memperkasakan golongan belia di Malaysia ini dilihat dan dinilai oleh pihak Kerajaan.

Dalam masa yang sama, cadangan ini juga bakal menarik lebih ramai belia untuk menyertai persatuan-persatuan belia dan dalam masa yang sama dapat membantu pihak Kerajaan untuk memperkasakan agenda Program Pembangunan Pelan Transformasi Belia seperti yang disentuh oleh YAB Perdana Menteri pada Bajet 2015 yang lalu.

Kita ingin melihat sekurang-kurangnya 40 peratus daripada golongan belia di Malaysia adalah antara mereka yang aktif berpersatuan dan mereka yang aktif menyuarakan pandangan yang bernas untuk pemantapan golongan belia di Malaysia. Kerajaan perlu sedar, golongan belia di Malaysia ini akan menerajui kepimpinan tertinggi akan datang. Jadi, sekiranya mereka tidak berpersatuan dari sekarang, Malaysia akan ketandusan pemimpin-pemimpin yang dapat berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Justeru untuk menarik minat belia untuk menyertai persatuan. Kerajaan seharusnya menerima pandangan ini dengan mendahulukan dan memberi keutamaan kepada belia-belia yang aktif berpersatuan untuk diberi bantuan.

  
 
MUHAMMAD AKMAL RIDZUAN ABD RAHIM
Presiden
Persatuan Belia Bersatu Klang