Thursday, 20 March 2014

Bahas Ala Parlimen (Piala Diraja) Peringkat 1

Assalamualaikum w.b.t.. 

Di sini saya sertakan teks bahas ala parlimen yang telah saya gunakan pada tahun 2010 ketika bertanding melawan SMK Pulau Indah. Usulnya adalah KEMAJUAN SAINS DAN TEKNOLOGI PUNCA PENINGKATAN GEJALA SOSIAL.

Ketika ini saya di angkat menjadi pembahas terbaik. Sila ikuti teks berikut :

Akademik VS Soft Skill



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t.

1. Terlebih dahulu tahniah dan syabas diucapkan kepada semua calon SPM 2013 yang baru telah mendapat keputusan yang cemerlang sebentar tadi. Suka, tangis, ketawa semua kedengaran apabila saya berada di SMK Tengku Ampuan Jemaah sebentar tadi.

2. Tahniah kepada pelajar terbaik SMK Tengku Ampuan Jemaah, Tan Boon Pin, atas pencapaian sebanyak 11A dalam SPM 2013. Tahniah juga kepada tokoh pelajar SMKTAJ, Ng Pei Ying (gambar) kerana juga mendapat straight A's iaitu sebanyak 10A. Jelas kelihatan muka gembira di wajah Pei Ying. Pei Ying juga sempat ditemubual oleh wartawan Berita Harian, Faiz sebentar tadi. Sempat juga saya bertukar-tukar nombor telefon dengan wartawan tersebut. Baru saya tahu bahawa Faiz juga merupakan bekas pelajar SMK Tengku Ampuan Jemaah tahun 2004, 10 tahun yang lalu, kini bertugas sebagai wartawan di New Straits Time Press (NSTP). Sempat juga saya mengajak beliau menyertai Persatuan Alumni SMK Tengku Ampuan Jemaah, setuju lagaknya.

3. Saya berada di sekolah dari jam 10.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Pelbagai topik dibualkan bersama guru-guru dan staf-staf di sekolah maklum lah dah lama tak jumpa. Antara perkara yang ingin saya menarik perhatian pembaca sekalian adalah berkenaan topik yang saya telah bincangkan secara ilmiah bersama-sama beberapa orang guru kaunseling sebentar tadi, iaitu berkenaan dengan gred peperiksaan dan soft skill yang penting. Saya membentangkan hujah saya.

4. Saya berpendapat bahawa soft skill itu lebih penting dari pencapaian akademik kerana saya pernah berdepan dengan beberapa situasi senior saya yang mendapat Anugerah Naib Cancelor, tetapi langsung tak mahir dalam urusan menaip surat, membuat kertas kerja apatah lagi bercakap di hadapan khalayak. Mereka hanya menelaah buku, entah-entah apa yang mereka belajar pun mereka tak faham, hanya menghafal.

5. Saya memetik perbincangan yang pernah saya bincangkan dengan Pengarah Urusan Cool Blog F&B Sdn. Bhd., Datuk Rozman Hussin. Beliau merupakan bekas pensyarah perakaunan dan beliau berpendapat bahawa kemahiran yang ada pada seseorang individu itu adalah perkara yang lebih penting dari keupayaan akademik mereka. Cuba anda bayangkan, seorang pelajar yang pandai pergi ke sesi temuduga di sebuah syarikat, dan panel penilai memberi satu masalah yang perlu diselesaikan, tetapi pelajar yang pandai ini tak dapat selesaikan. Siapa yang nak mengambil pekerja seperti ini?

6. Guru-guru tersebut bersetuju dengan pendapat saya. Tapi saya membuat satu persoalan, siapa yang patut dipersalahkan? Ibu bapa? Ibu bapa ingin melihat anak mereka berjaya. Tapi berjaya itu dari perspektif bagaimana? Kebanyakan ibu bapa hanya megahkan anak mereka sekiranya anak mereka berjaya mendapat gred yang tinggi yang pada hakikatnya isi anaknya kosong! Sibuk menjaja ke sana sini mengatakan yang anaknya bijak dan pandai tetapi sebenarnya buta. Tapi adakah salah ini perlu diletakkan pada ibu bapa? Tidak juga. Kerana perspektif masyarakat yang melihatnya melalui sudut seperti itu.

7. Saya juga mengatakan bahawa sekolah juga bersalah dalam hal ini. Kerana sekolah sibuk mengejar KPI yang kononnya mesti menaikkan peratusan sekolah. Tapi bersalahkan sekolah? Pihak sekolah pun perlu menjawab sekiranya tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah. Jadi sekolah hanya ingin melepaskan diri. Tapi adakah salah ini boleh kita tujukan kepada Pejabat Pendidikan Daerah? Tidak juga, Pejabat Pendidikan Daerah juga perlu mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Jadi, salah JPN kah? Tidak juga. JPN perlu pula mencapai sasaran yang dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Salah kementerian kah? Mungkin salah sistem yang digunakan yang hanya menginginkan pelajar belajar, belajar, belajar dan terus belajar.....

8. Perkara seperti ini tidak boleh dipandang enteng kerana ini melibatkan masa depan negara. Pandangan seorang guru sebentar tadi, mengapa kualiti guru sudah merudum? Puncanya kerana apabila di universiti, pensyarah yang mengajar mereka menjadi pensyarah kerana tidak tahan dengan kerenah di sekolah. Seakan ketam mengajar anaknya berjalan, masakan pensyarah yang 'lari' dari tugasan asal yang tidak tahan dengan kerenah murid sekolah mengajar bakal guru untuk berkhidmat kepada murid sekolah? Anda faham maksud saya?

9. Jadi, cadangan saya sistem pendidikan di Malaysia perlu mempunyai satu perubahan yang boleh di seiringkan dengan keperlu generasi kini. Kalau tahun 80 an, mungkin akademik itu menjadi keutamaan, tapi sekarang pada hemat saya tidak lagi. Namun begitu, saya tidak menolak kepentingan akademik.

Sekian, terima kasih.


MH370: Kenyataan Penuh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin, 18 Mac 2014

Datuk Seri Hishamuddin, Menteri Pertahanan
dan Pemangku Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, di Sepang, Selangor, Selasa:

Kenyataan pengenalan

Semalam (17 Mac), saya nyatakan bahawa operasi mencari MH370 telah memasuki fasa baharu, yang turut membawa cabaran-cabaran baharu dari segi diplomatik, teknikal dan logistik.

Hari ini (18 Mac), saya akan memberikan anda perkembangan terkini mengenai aspek logistik dan diplomatik dalam operasi mencari itu.

Operasi mencari dan menyelamat telah memasuki dimensi baharu peringkat antarabangsa. Pencarian masih diselaraskan oleh Malaysia, tetapi rakan-rakan kami telah memainkan peranan penting dalam menguruskan dan menjalankan operasi, dalam kawasan mereka sendiri dan juga di sektor yang telah dipersetujui bagi operasi mencari. Rakan sejawat saya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan memberikan kenyataan lebih terperinci mengenai usaha diplomatik kami pada masa ini.

Daripada segi logistik, dalam tempoh 24 jam lepas kami telah bekerja keras dengan negara-negara lain untuk menjuruskan pencarian di koridor-koridor. Kami memfokuskan kepada empat tugas: mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit, analisis data daripada pengawasan radar, menambah aset udara dan permukaan, dan menambah jumlah pakar teknikal dan perkara berkaitan.

Mengenai pengawasan satelit, saya tidak boleh dedahkan siapa memiliki keupayaan satelit, tetapi saya dapat sahkan bahawa kami telah menghubungi setiap negara relevan yang mempunyai akses kepada data satelit.

Mengenai analisis data radar, di koridor selatan, Australia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengetuai di bahagian masing-masing dalam pencarian di koridor.

Di koridor utara, China dan Kazakhstan telah bersetuju untuk mengetuai pencarian di kawasan paling hampir dengan negara mereka.

Mengenai aset udara dan permukaan, saya telah berhubung dengan hampir kesemua pemimpin Asean bagi meminta bantuan selanjutnya, termasuk aset dilengkapi keupayaan pengesanan dan pengawasan di laut dalam. Kami juga meminta rakan antarabangsa yang telah membantu kami untuk meneliti semua data pada radar primer mereka.

1. Perkembangan terkini operasi

Di koridor utara, kami telah membahagikan kawasan pencarian kepada tujuh kuadran. Setiap daripada tujuh kuadran itu adalah 400 batu nautika darab 400 batu nautikal - atau 160,000 batu nautika persegi secara keseluruhannya.

Kami juga membahagikan koridor selatan kepada tujuh kuadran. Sama seperti di utara, setiap kuadran meliputi kawasan 160,000 batu nautika persegi.

Keseluruhan kawasan pencarian kini adalah 2.24 juta batu nautika persegi.

Ini adalah kawasan pencarian yang amat luas. Dan ia sesuatu yang Malaysia tidak mampu lakukan secara bersendirian. Saya dengan ini amat berbesar hati bahawa terdapat begitu banyak negara yang tampil menawarkan bantuan dan sokongan terhadap operasi mencari dan menyelamat ini.

Daripada segi penghantaran aset-aset spesifik:

Hari ini (18 Mac), Tentera Laut Diraja Malaysia menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan. Penghantaran ini termasuk sebuah helikopter Super Lynx, yang boleh beroperasi daripada mana-mana dua kapal itu. Ini menjadikan jumlah kapal Malaysia dihantar ke koridor selatan kepada empat buah, dengan dua helikopter Super Lynx.

Hari ini (18 Mac) Malaysia turut menghantar dua pesawat C-130 ke sektor Indonesia dalam pencarian di koridor selatan.

Negara-negara lain turut menyumbang dengan aset-aset berikut:

Amerika Syarikat menghantar sebuah P-8 Poseidon, dan akan menghantar sebuah pesawat P-3 Orion.

Australia, sepertimana saya sebut semalam, telah menghantar tiga P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

New Zealand menghantar sebuah P-3 Orion untuk membantu usaha pencarian oleh Australia.

Republik Korea menjanjikan sebuah P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

Jepun, menjanjikan dua P-3 Orion, dua C-130 dan sebuah jet Gulfstream.

UAE menjanjikan sebuah pesawat C-17 dan sebuah pesawat Bombardier Dash-8.

Aset dari Korea, Jepun, dan UAE kini berada di Malaysia dan sedang menunggu arahan daripada kerajaan masing-masing.

Selain menghantar aset-asetnya ke koridor utara, China juga membuat perjanjian dengan Australia untuk menghantar sebuah pesawat ke koridor selatan.

2. ACARS (Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat)

Saya ingin menjelaskan mengenai apa telah diperkatakan mengenai ACARS dan turutan kejadian sebelum pesawat berpatah balik.

Pada Sabtu, kami menyatakan bahawa - dan saya petik: "Berdasarkan maklumat baharu daripada satelit, kami boleh katakan dengan kepastian tahap tinggi bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia.

"Tidak lama selepas itu, dekat sempadan antara kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan."

Dapatan ini dirumuskan secara bersama dengan wakil-wakil pasukan penyiasat utama antarabangsa, berdasarkan maklumat diperoleh pada waktu itu.

Semalam (17 Mac) , Malaysia Airlines menjelaskan bahawa kami tidak dapat tentukan secara tepat bila ACARS dimatikan, hanya bahawa ia berlaku dalam tempoh waktu spesifik: dari 01:07 - anggaran ketika pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia, dan transmisi terakhir ACARS berlaku - hingga 01:37, iaitu masa pelaporan seterusnya dijadualkan. Ini sebenarnya yang berlaku.

Ini tidak mengubah kepercayaan kami, seperti dinyatakan, bahawa sehingga ke titik ia keluar daripada liputan radar primer tentera, pergerakan pesawat itu adalah konsisten dengan tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat itu. Ini menjadi tumpuan pasukan penyiasat.

Adalah juga penting untuk ditegaskan bahawa masa tepat ACARS dimatikan tidak memberikan tekanan kepada operasi mencari dan menyelamat. Kami tahu bahawa kedudukan terakhir pesawat seperti disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa adalah sama ada di koridor utara atau selatan, yang menjadi fokus usaha mencari dan menyelamat. Keutamaan kami ialah mencari pesawat itu.

3. Siasatan Polis

Saya sedar ramai mengikuti dengan dekat dan mahu mengetahui perkembangan siasatan Polis Diraja Malaysia terhadap penumpang dan anak kapal MH370. Saya harap anda faham bahawa saya tidak boleh mengulas mengenai butiran siasatan itu, yang masih berjalan.

Saya juga ingin menyatakan bahawa usaha mencari MH370 adalah lebih penting daripada politik. Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan kita dan bersatu dalam waktu sukar ini tatkala kami menumpukan usaha untuk mencari pesawat itu dan 239 orang di dalamnya.

4. Kenyataan penutup

Operasi mencari MH370 terus menjadi keutamaan kami. Kami akan terus memberikan anda perkembangan terkini operasi ini, termasuk maklumat mengenai aset-aset digunakan, sebaik sahaja maklumat itu diperoleh.

Beberapa hari lepas kami telah menghubungi rakan-rakan kami di kawasan yang menjadi tumpuan operasi mencari. Kerjasama yang kami terima dalam fasa pertama diteruskan dalam fasa baharu ini. Malah, lebih banyak komitmen diberikan kepada kami dalam operasi rumit dan besar ini, melibatkan pelbagai negara.

Pada masa sama, doa kami terus bersama-sama anggota keluarga dan rakan penumpang dan anak kapal pesawat.

KEPUTUSAN SPM 2013

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t.

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon STPM 2013 kerana berjaya melonjakkan prestasi STPM sehingga 10.73%. Satu peningkatan yang sangat menarik. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya dan yang kurang berjaya, jangan risau, peluang masih terbentang luas untuk anda. Kejayaan seseorang itu terletak kepada kemahuan diri mereka sendiri. Gred dan markah bukan penyebab utama.

2. Esok akan menjadi hari yang paling besar kepada 470,395 calon SPM 2013. Tidak ketinggalan yang akan turut sama tidak lena tidur pada hari ini adalah guru-guru yang mengajar subjek SPM yang masing-masing mengejar KPI sekolah masing-masing. Pastinya, sekiranya guru tidak mencapai tahap KPI yang ditetapkan sekolah, guru tersebut perlu membuat laporan kepada pihak sekolah. 

3. Kepada calon SPM 2013, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan beberapa perkara, antaranya, sekiranya anda mendapat keputusan yang kurang cemerlang, usahlah berhenti berharap dan belajar. Sayang. Cari ilmu. Banyak peluang untuk anda di luar sana. Pusat kemahiran, Giat Mara, Politeknik, Tingkatan 6, UiTM, Kolej-kolej banyak lagi yang sanggup menerima pelajar walaupun keputusan mereka kurang memberangsangkan.

4. Berdasarkan pengalaman rakan-rakan, ramai yang berhenti setakat SPM kerana mengganggap bahawa sekiranya SPM mereka tak mencapai sasaran keperluan untuk memasuki universiti, kolej atau politeknik, jadi tak perlu lagi untuk mereka berusaha dan teruskan perjuangan pendidikan mereka. Ini persepsi salah!

5. Timbalah ilmu selagi ada peluang dan masa. Yakinlah bahawa ilmu itu sangat penting. Tapi kadang-kadang kita silap dalam menilai ilmu. Kebanyakan dari kita menilai ilmu berdasarkan gred semata. Kalau dapat A, maknanya pandai. Kalau gagal, maknanya tak pandai. Ini persepsi lapuk yang sudah tak boleh digunapakai. Perlu dibuang dan dibawa oleh aliran air yang deras.

6. Gred itu cuma alat. Ilmu itu yang utama. Jangan bersedih sekiranya gred SPM ada rendah. Pastinya Tuhan hendak menguji kita dengan pelbagai cara. Yakinlah bahawa ada jalan terbentang luas di hadapan mata kita. Terpulang pada diri kita sama ada nak menggapai peluang tersebut atau tidak. Kalau gapai, berjaya, tak gapai, gagal. Semudah itu sahaja.

7. Akhir kata, kepada adik-adik yang akan mengambil keputusan SPM esok terutamanya daripada SMK Tengku Ampuan Jemaah dan SMK Muadzam Shah, saya berharap anda mendapat keputusan seperti anda impikan. Jangan bersedih jika tidak seperti yang diimpikan. Peluang masih ada. Usaha tangga kejayaan!

Sekian, terima kasih.