Thursday, 27 November 2014

KERAJAAN NEGERI SELANGOR DIHARAP LEBIH PRIHATIN


Pada 23 November 2014 yang lalu, saya telah ditemuramah oleh beberapa orang rakan media untuk memberi pandangan berkenaan dengan tindakan beberapa pihak yang kami anggap menggelapkan peruntukan yang telah diserahkan oleh pihak kerajaan negeri Selangor untuk membaiki bumbung dan tangki air yang telah rosak akibat bencana ribut kuat di Pangsapuri Permai Indah, Pandamaran Jaya pada 21 Oktober 2014.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 1.5 juta untuk membaiki kerosakan ini kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan projek tersebut telah bermula pada 26 Oktober 2014 dan menurut papan tanda projek tempoh kerja adalah dalam kiraan MINGGU. Namun begitu, selepas hampir 1 bulan, hanya kerangka bumbung sahaja yang siap. Dimaklumkan juga, bilangan kontraktor juga ditambah kepada dua.

Hal ini membimbangkan rakan saya, wakil penduduk pangsapuri iaitu Mohamad Adam Prakash dan penduduk lain. Pada pandangan saya, kerajaan negeri Selangor yang diketuai oleh YAB Tuan Azmin Ali pelu lebih prihatin dan memantau projek ini sama ada siap pada waktu nya atau tidak. Saya bimbang penduduk di pangsapuri tersebut terutamanya yang tinggal di tingkat paling atas blok A dan blok B tiada tempat tinggal yang tetap hingga sekarang. Itu belum lagi disentuh berkenaan jalan utama ke pangsapuri ini. Tiada jalan yang utama. Untuk masuk ke pangsapuri ini perlu melalui jalan-jalan berbatu dan berlubang sahaja.

Justeru itu, kami menggesa pihak kerajaan negeri Selangor dan pihak-pihak berkenaan supaya mengambil tindakan segera demi penduduk pangsapuri Permai Indah ini. Ini bukan masa untuk bermain politik. Kita tidak mahu, negeri Selangor yang merupakan negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, mempunyai rakyat yang masih hidup dalam kesusahan seperti ini.

Sekian.


Wednesday, 29 October 2014

BAJET 2015 : PERUNTUKAN UNTUK BELIA DAN CADANGAN KEPADA PIHAK KERAJAAN






Pada 10 Oktober 2014 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah membentangkan Bajet 2015 pada siding Parlimen. Beberapa aspek diberi penekanan oleh YAB Perdana Menteri antaranya bajet yang khusus untuk golongan belia melalui pembangunan Program Transformasi Belia.

Memandangkan golongan belia di Malaysia merangkumi sejumlah 65 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia, langkah YAB Perdana Menteri memberi penekanan kepada golongan belia menunjukkan Kerajaan Malaysia sebenarnya prihatin kepada golongan majoriti ini.

Antara yang disentuh oleh YAB Perdana Menteri pada Bajet 2015 yang lalu berkenaan belia merangkumi empat (4) perkara antaranya :

i)             Pelan Transformasi Belia Negara;
ii)            1Malaysia Youth City;
iii)           Skim Perumahan Belia;
iv)           Blueprint Negara Bersukan

Melalui Pelan Transformasi Belia Negara, YAB Perdana Menteri memperuntukkan RM320 juta bagi membiayai program ini untuk digunakan bagi tujuh (7) tujuan iaitu; pengkajian semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), penambahbaikan program Rakan Muda dan pengenalan Kem Uniti, memperkukuhkan kepimpinan belia melalui pengenalan program Akademi Kepimpinan Belia, mempergiatkan program kesukarelawan belia seperti 1M4U dan pengenalan program MyCorp, menggilap bakat keusahawanan dalam kalangan belia melalui Program MaGIC, SME Bank dan Agro Bank, melaksanakan Program Agropreneur Muda dan yang terakhir meningkatkan keupayaan dan kemahiran belia melalui Program Transformasi IKBN, Program Coding Bootcamp dan Projek Angkat dan Upaya (PADU).

Kerajaan juga memperuntukkan bajet sebanyak RM100 juta untuk mewujudkan 1Malaysia Youth City iaitu dengan menyediakan satu ekosistem yang komprehensif yang bakal disertai oleh belia bagi meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan serta dapat menikmati kemudahan perumahan dan rekriasi.

Pihak kerajaan dilihat prihatin kepada belia dengan menyediakan skim pemilikan rumah pertama kepada belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapat isi rumah tidak melebihi RM10,000. Peruntukan ini memakan belanja sebanyak RM500 ribu. Selain itu, dibawah Skim Perumahan Belia ini juga, kerajaan memperuntukkan RM200 sebulan untuk tempoh 2 tahun pertama bagi mengurangkan beban ansuran bulanan pinjaman perumahan. Pengecualian sebanyak 50 peratus duti setem juga dikenakan

Kerajaan juga tidak ketinggalan memperuntukkan RM103 juta untuk membiayai pelaksanaan-pelaksanaan program ke arah mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Namun begitu, agenda-agenda yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan ini dilihat terlalu terbuka kepada semua lapisan belia termasuklah belia yang langsung tidak bergiat aktif di dalam mana-mana persatuan belia dan mengharap subsidi dan bantuan dari pihak Kerajaan semata-mata.

Pihak Persatuan Belia Bersatu Klang mencadangkan pihak Kerajaan untuk memberi keutamaan kepada golongan belia yang berpersatuan untuk menerima bantuan yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan kepada golongan belia. Sekurang-kurangnya golongan belia yang aktif mendapat manfaat dan perhatian oleh pihak Kerajaan dan penat lelah mereka membantu pihak Kerajaan dalam program-program bagi memperkasakan golongan belia di Malaysia ini dilihat dan dinilai oleh pihak Kerajaan.

Dalam masa yang sama, cadangan ini juga bakal menarik lebih ramai belia untuk menyertai persatuan-persatuan belia dan dalam masa yang sama dapat membantu pihak Kerajaan untuk memperkasakan agenda Program Pembangunan Pelan Transformasi Belia seperti yang disentuh oleh YAB Perdana Menteri pada Bajet 2015 yang lalu.

Kita ingin melihat sekurang-kurangnya 40 peratus daripada golongan belia di Malaysia adalah antara mereka yang aktif berpersatuan dan mereka yang aktif menyuarakan pandangan yang bernas untuk pemantapan golongan belia di Malaysia. Kerajaan perlu sedar, golongan belia di Malaysia ini akan menerajui kepimpinan tertinggi akan datang. Jadi, sekiranya mereka tidak berpersatuan dari sekarang, Malaysia akan ketandusan pemimpin-pemimpin yang dapat berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Justeru untuk menarik minat belia untuk menyertai persatuan. Kerajaan seharusnya menerima pandangan ini dengan mendahulukan dan memberi keutamaan kepada belia-belia yang aktif berpersatuan untuk diberi bantuan.

  
 
MUHAMMAD AKMAL RIDZUAN ABD RAHIM
Presiden
Persatuan Belia Bersatu Klang


Friday, 12 September 2014

KURSUS MOTIVASI KEMAHIRAN MINDA (MIND-A)

Pada 4 hingga 6 September 2014 yang lalu, saya dijemput oleh Kelab Usahawan UiTM Johor untuk menjadi Ketua Fasilitator bagi Kursus Motivasi Kemahiran Minda (MIND-A) yang kali ini diadakan di SMK Bandar Tun Razak, Keratong, Pahang.

Pada tahun lepas saya juga dipilih untuk menjadi Ketua Fasilitator bagi program kursus yang sama di SMK Muadzam Shah, Pahang. Melalui program tersebut, saya berusaha untuk memupuk semangat kasih sayang, fokus dan daya kreativiti yang tinggi dalam kalangan peserta-peserta program agar dapat menjadi seorang yang berbeza daripada pasaran sedia ada.

Alhamdulillah, selepas 3 hari 2 malam program ini berjalan di SMK Bantura, melalui feedback yang diterima, peserta dan pihak sekolah sangat berpuas hati dengan perjalanan program tersebut dan berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang.

Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kelab Usahawan UiTM Johor kerana sudi menjemput saya untuk mengetuai program ini. Saya juga mendoakan supaya adik-adik SMK Bantura mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM yang akan berlangsung tidak berapa lama sahaja lagi. Kuatkan azam, bulatkan tekad. Fokus dan MELEKAT! Tahniah semua!













Saturday, 26 July 2014

RAMADHAN DIHAYATI SYAWAL DIRAI


Assalamualaikum w.b.t.

1. Di kesempatan ini saya mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali saya selama ini. Maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki sekiranya dalam perkenalan kita saya ada melakukan sebarang kesilapan yang disengajakan mahupun tidak disengajakan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

2. Pada lebaran kali ini, umat Islam pastinya bersedih dengan kisah-kisah yang berlaku di Gaza, Palestin. Sesungguhnya kami dari barisan kepimpinan Persatuan Belia Bersatu Klang mengutuk dan mengecam kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Tindakan tidak perikemanusian yang dilancarkan oleh rejim Zionis itu seolah-oleh menunjukkan bahawa dunia ini milik mereka dan tiada sebarang peraturan atau undang-undang yang dapat menyekat mereka dari berbuat perkara yang mereka inginkan.

3. Baru-baru ini juga, kita dikejutkan dengan serangan terhadap pesawat Boeing 777 MH 17 milik Malaysian Airlines yang dilancarkan oleh pihak pemberontak. Kita masih belum temui pesalah yang benar-benar bersalah dalam hal ini. Memang benar, dunia kita perlu memikirkan keamanan sejagat. Tiada sebarang faedah diperoleh daripada peperangan sebaliknya hanya akan membebankan dan menjadikan orang lain yang tidak bersalah sebagai mangsa sahaja. Seolah-olah benar kata pepatah "gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah". Sehubungan itu, pihak Persatuan Belia Bersatu Klang sekali lagi mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya pesalah dalam hal ini. Kami melihat bahawa dalam hal ini, pihak kerajaan Malaysia telah melakukan tindakan yang sangat berani dan dihormati oleh seluruh pelusuk dunia apabila dengan tegas meminta supaya kotak hitam milik pesawat itu dikembalikan untuk siasatan lanjut. Kita juga hampir mencapai sasaran untuk membawa kembali mayat-mayat nahas untuk dikebumikan sebelum menjelang Aidilfitri. InsyaAllah, sama-sama kita nantikan. Semoga Allah merahmati usaha YAB Dato' Sri Najib Tun Razak beserta kepimpinan belia untuk menyelesaikan masalah ini dan dalam masa yang sama tidak juga kita lupakan kepada pesawat Boeing 777 MH 370 yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

4. Menyambut Aidilfitri merupakan syariat yang diperintahkan oleh Allah bagi merai kemenangan kita berjuang selama satu bulan dalam bulan Ramadhan. Kita dapat menahan diri daripada melakukan kemungkaran dan banyak beramal ibadat. Diharapkan bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tapi perkara ini akan terus berpanjangan sehingga ke bulan-bulan yang lain. Dalam menyaksikan hampir semua rumah terbuka hari raya dibatalkan dan ditangguhkan antaranya Rumah Terbuka Hari Raya YAB PM pada 1 Syawal dibatalkan, Rumah Terbuka YAB TPM pada 2 Syawal ditangguhkan dan Rumah Terbuka YAB MB Selangor pada 1 Syawal juga dibatalkan bagi mengenang nasib pesawat MH 17 yang baru sahaja menjadi titik hitam dalam sejarah Malaysia. Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia untuk lebaran kali ini hendaklah kita raikan dengan kadar sederhana bagi sama-sama turut mengenang nasib yang menimpa mereka.

5. Tak dapat saya bayangkan bagaimana ibu bapa, adik beradik, suami, isteri, anak-anak, saudara mara terdekat mangsa-mangsa MH 17 dan MH 370 beraya pada tahun ini tanpa orang tersayang. Namun begitu, yang pergi akan tetap pergi dan saya percaya orang yang bersalah akan dihukum dan diheret ke muka pengadilan tidak berapa lama sahaja lagi.  Kepada syarikat Malaysia Airlines, kami rakyat Malaysia akan sentiasa bersama dan menyokong MAS.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

6. Sekali lagi, saya mewakili Persatuan Belia Bersatu Klang mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Minal Aidil Wal Faizin. Semoga segala perit getir dalam negara kita kini dapat menjadi asbab untuk kita kembali bersatu dalam semangat 1 Malaysia sebagai rakyat Malaysia.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Friday, 18 July 2014

#PRAY4MH17



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam dunia menyaksikan kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin, dunia, Malaysia khasnya semalam dikejutkan dengan satu lagi peristiwa menyayat hati apabila sebuah kapal terbang MAS Boeing 777 terhempas di timur Ukraine selepas dipercayai ditembak oleh Russian Missile.

Syarikat penerbangan MAS mengesahkan jumlah keseluruhan penumpang serta krew adalah 298 orang. Belum lagi reda dan tamat kisah yang masih menjadi tanda tanya MH370, kini kisah MH17 pula membuat kejutan kepada umum.

Saya diberitahu bahawa salah seorang daripada mangsa nahas adalah dari Pandamaran, Pelabuhan Klang. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa. Semoga tabah menghadapi ujian yang besar ini.

Sekian.



Thursday, 22 May 2014

KENYATAAN AWAL BERHUBUNG KENYATAAN DYANA SOFYA BERKENAAN UiTM

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Saya bantah kenyataan Calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud yang mempertikaikan UiTM hanya untuk orang Melayu dan Bumiputera. Sebagai seorang graduan jurusan undang-undang di UiTM, beliau sepatutnya sedar bahawa peruntukan keistimewaan Hak Orang Melayu dan Bumiputera telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (dan merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia). 

Dyana sepatutnya memahami falsafah penubuhan UiTM yang diasaskan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). UiTM perlu dikekalkan falsafahnya seperti sekarang. UiTM memainkan peranan yang baik bagi membantu anak-anak Melayu dan Bumiputera dan saya tidak lihat ada keperluan UiTM perlu dibuka untuk kaum lain.

Bagi saya ini satu kenyataan yang kurang ajar dan tidak sepatutnya keluar dari seorang bekas pelajar UiTM. 

Sekian, UiTM Di Hatiku.





Muhammad Akmal Ridzuan bin Abd Rahim 
Presiden Persatuan Belia Bersatu Klang
Bekas Pelajar Diploma Pengajian Perniagaan UiTM

Thursday, 15 May 2014

SELAMAT HARI GURU 2014 : Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi



GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akal ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembur sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat

(Usman Awang, 1979)

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru di Malaysia terutama kepada mereka yang pernah mengajar saya di :

  1. Tadika Yayasan Islam, Kuala Terengganu
  2. SK Seri Budiman, Kuala Terengganu
  3. SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
  4. SMK Tengku Ampuan Jemaah, Pelabuhan Klang
  5. Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor, Kampus Segamat


Thursday, 20 March 2014

Bahas Ala Parlimen (Piala Diraja) Peringkat 1

Assalamualaikum w.b.t.. 

Di sini saya sertakan teks bahas ala parlimen yang telah saya gunakan pada tahun 2010 ketika bertanding melawan SMK Pulau Indah. Usulnya adalah KEMAJUAN SAINS DAN TEKNOLOGI PUNCA PENINGKATAN GEJALA SOSIAL.

Ketika ini saya di angkat menjadi pembahas terbaik. Sila ikuti teks berikut :

Akademik VS Soft Skill



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t.

1. Terlebih dahulu tahniah dan syabas diucapkan kepada semua calon SPM 2013 yang baru telah mendapat keputusan yang cemerlang sebentar tadi. Suka, tangis, ketawa semua kedengaran apabila saya berada di SMK Tengku Ampuan Jemaah sebentar tadi.

2. Tahniah kepada pelajar terbaik SMK Tengku Ampuan Jemaah, Tan Boon Pin, atas pencapaian sebanyak 11A dalam SPM 2013. Tahniah juga kepada tokoh pelajar SMKTAJ, Ng Pei Ying (gambar) kerana juga mendapat straight A's iaitu sebanyak 10A. Jelas kelihatan muka gembira di wajah Pei Ying. Pei Ying juga sempat ditemubual oleh wartawan Berita Harian, Faiz sebentar tadi. Sempat juga saya bertukar-tukar nombor telefon dengan wartawan tersebut. Baru saya tahu bahawa Faiz juga merupakan bekas pelajar SMK Tengku Ampuan Jemaah tahun 2004, 10 tahun yang lalu, kini bertugas sebagai wartawan di New Straits Time Press (NSTP). Sempat juga saya mengajak beliau menyertai Persatuan Alumni SMK Tengku Ampuan Jemaah, setuju lagaknya.

3. Saya berada di sekolah dari jam 10.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Pelbagai topik dibualkan bersama guru-guru dan staf-staf di sekolah maklum lah dah lama tak jumpa. Antara perkara yang ingin saya menarik perhatian pembaca sekalian adalah berkenaan topik yang saya telah bincangkan secara ilmiah bersama-sama beberapa orang guru kaunseling sebentar tadi, iaitu berkenaan dengan gred peperiksaan dan soft skill yang penting. Saya membentangkan hujah saya.

4. Saya berpendapat bahawa soft skill itu lebih penting dari pencapaian akademik kerana saya pernah berdepan dengan beberapa situasi senior saya yang mendapat Anugerah Naib Cancelor, tetapi langsung tak mahir dalam urusan menaip surat, membuat kertas kerja apatah lagi bercakap di hadapan khalayak. Mereka hanya menelaah buku, entah-entah apa yang mereka belajar pun mereka tak faham, hanya menghafal.

5. Saya memetik perbincangan yang pernah saya bincangkan dengan Pengarah Urusan Cool Blog F&B Sdn. Bhd., Datuk Rozman Hussin. Beliau merupakan bekas pensyarah perakaunan dan beliau berpendapat bahawa kemahiran yang ada pada seseorang individu itu adalah perkara yang lebih penting dari keupayaan akademik mereka. Cuba anda bayangkan, seorang pelajar yang pandai pergi ke sesi temuduga di sebuah syarikat, dan panel penilai memberi satu masalah yang perlu diselesaikan, tetapi pelajar yang pandai ini tak dapat selesaikan. Siapa yang nak mengambil pekerja seperti ini?

6. Guru-guru tersebut bersetuju dengan pendapat saya. Tapi saya membuat satu persoalan, siapa yang patut dipersalahkan? Ibu bapa? Ibu bapa ingin melihat anak mereka berjaya. Tapi berjaya itu dari perspektif bagaimana? Kebanyakan ibu bapa hanya megahkan anak mereka sekiranya anak mereka berjaya mendapat gred yang tinggi yang pada hakikatnya isi anaknya kosong! Sibuk menjaja ke sana sini mengatakan yang anaknya bijak dan pandai tetapi sebenarnya buta. Tapi adakah salah ini perlu diletakkan pada ibu bapa? Tidak juga. Kerana perspektif masyarakat yang melihatnya melalui sudut seperti itu.

7. Saya juga mengatakan bahawa sekolah juga bersalah dalam hal ini. Kerana sekolah sibuk mengejar KPI yang kononnya mesti menaikkan peratusan sekolah. Tapi bersalahkan sekolah? Pihak sekolah pun perlu menjawab sekiranya tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah. Jadi sekolah hanya ingin melepaskan diri. Tapi adakah salah ini boleh kita tujukan kepada Pejabat Pendidikan Daerah? Tidak juga, Pejabat Pendidikan Daerah juga perlu mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Jadi, salah JPN kah? Tidak juga. JPN perlu pula mencapai sasaran yang dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Salah kementerian kah? Mungkin salah sistem yang digunakan yang hanya menginginkan pelajar belajar, belajar, belajar dan terus belajar.....

8. Perkara seperti ini tidak boleh dipandang enteng kerana ini melibatkan masa depan negara. Pandangan seorang guru sebentar tadi, mengapa kualiti guru sudah merudum? Puncanya kerana apabila di universiti, pensyarah yang mengajar mereka menjadi pensyarah kerana tidak tahan dengan kerenah di sekolah. Seakan ketam mengajar anaknya berjalan, masakan pensyarah yang 'lari' dari tugasan asal yang tidak tahan dengan kerenah murid sekolah mengajar bakal guru untuk berkhidmat kepada murid sekolah? Anda faham maksud saya?

9. Jadi, cadangan saya sistem pendidikan di Malaysia perlu mempunyai satu perubahan yang boleh di seiringkan dengan keperlu generasi kini. Kalau tahun 80 an, mungkin akademik itu menjadi keutamaan, tapi sekarang pada hemat saya tidak lagi. Namun begitu, saya tidak menolak kepentingan akademik.

Sekian, terima kasih.


MH370: Kenyataan Penuh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin, 18 Mac 2014

Datuk Seri Hishamuddin, Menteri Pertahanan
dan Pemangku Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, di Sepang, Selangor, Selasa:

Kenyataan pengenalan

Semalam (17 Mac), saya nyatakan bahawa operasi mencari MH370 telah memasuki fasa baharu, yang turut membawa cabaran-cabaran baharu dari segi diplomatik, teknikal dan logistik.

Hari ini (18 Mac), saya akan memberikan anda perkembangan terkini mengenai aspek logistik dan diplomatik dalam operasi mencari itu.

Operasi mencari dan menyelamat telah memasuki dimensi baharu peringkat antarabangsa. Pencarian masih diselaraskan oleh Malaysia, tetapi rakan-rakan kami telah memainkan peranan penting dalam menguruskan dan menjalankan operasi, dalam kawasan mereka sendiri dan juga di sektor yang telah dipersetujui bagi operasi mencari. Rakan sejawat saya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan memberikan kenyataan lebih terperinci mengenai usaha diplomatik kami pada masa ini.

Daripada segi logistik, dalam tempoh 24 jam lepas kami telah bekerja keras dengan negara-negara lain untuk menjuruskan pencarian di koridor-koridor. Kami memfokuskan kepada empat tugas: mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit, analisis data daripada pengawasan radar, menambah aset udara dan permukaan, dan menambah jumlah pakar teknikal dan perkara berkaitan.

Mengenai pengawasan satelit, saya tidak boleh dedahkan siapa memiliki keupayaan satelit, tetapi saya dapat sahkan bahawa kami telah menghubungi setiap negara relevan yang mempunyai akses kepada data satelit.

Mengenai analisis data radar, di koridor selatan, Australia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengetuai di bahagian masing-masing dalam pencarian di koridor.

Di koridor utara, China dan Kazakhstan telah bersetuju untuk mengetuai pencarian di kawasan paling hampir dengan negara mereka.

Mengenai aset udara dan permukaan, saya telah berhubung dengan hampir kesemua pemimpin Asean bagi meminta bantuan selanjutnya, termasuk aset dilengkapi keupayaan pengesanan dan pengawasan di laut dalam. Kami juga meminta rakan antarabangsa yang telah membantu kami untuk meneliti semua data pada radar primer mereka.

1. Perkembangan terkini operasi

Di koridor utara, kami telah membahagikan kawasan pencarian kepada tujuh kuadran. Setiap daripada tujuh kuadran itu adalah 400 batu nautika darab 400 batu nautikal - atau 160,000 batu nautika persegi secara keseluruhannya.

Kami juga membahagikan koridor selatan kepada tujuh kuadran. Sama seperti di utara, setiap kuadran meliputi kawasan 160,000 batu nautika persegi.

Keseluruhan kawasan pencarian kini adalah 2.24 juta batu nautika persegi.

Ini adalah kawasan pencarian yang amat luas. Dan ia sesuatu yang Malaysia tidak mampu lakukan secara bersendirian. Saya dengan ini amat berbesar hati bahawa terdapat begitu banyak negara yang tampil menawarkan bantuan dan sokongan terhadap operasi mencari dan menyelamat ini.

Daripada segi penghantaran aset-aset spesifik:

Hari ini (18 Mac), Tentera Laut Diraja Malaysia menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan. Penghantaran ini termasuk sebuah helikopter Super Lynx, yang boleh beroperasi daripada mana-mana dua kapal itu. Ini menjadikan jumlah kapal Malaysia dihantar ke koridor selatan kepada empat buah, dengan dua helikopter Super Lynx.

Hari ini (18 Mac) Malaysia turut menghantar dua pesawat C-130 ke sektor Indonesia dalam pencarian di koridor selatan.

Negara-negara lain turut menyumbang dengan aset-aset berikut:

Amerika Syarikat menghantar sebuah P-8 Poseidon, dan akan menghantar sebuah pesawat P-3 Orion.

Australia, sepertimana saya sebut semalam, telah menghantar tiga P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

New Zealand menghantar sebuah P-3 Orion untuk membantu usaha pencarian oleh Australia.

Republik Korea menjanjikan sebuah P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

Jepun, menjanjikan dua P-3 Orion, dua C-130 dan sebuah jet Gulfstream.

UAE menjanjikan sebuah pesawat C-17 dan sebuah pesawat Bombardier Dash-8.

Aset dari Korea, Jepun, dan UAE kini berada di Malaysia dan sedang menunggu arahan daripada kerajaan masing-masing.

Selain menghantar aset-asetnya ke koridor utara, China juga membuat perjanjian dengan Australia untuk menghantar sebuah pesawat ke koridor selatan.

2. ACARS (Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat)

Saya ingin menjelaskan mengenai apa telah diperkatakan mengenai ACARS dan turutan kejadian sebelum pesawat berpatah balik.

Pada Sabtu, kami menyatakan bahawa - dan saya petik: "Berdasarkan maklumat baharu daripada satelit, kami boleh katakan dengan kepastian tahap tinggi bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia.

"Tidak lama selepas itu, dekat sempadan antara kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan."

Dapatan ini dirumuskan secara bersama dengan wakil-wakil pasukan penyiasat utama antarabangsa, berdasarkan maklumat diperoleh pada waktu itu.

Semalam (17 Mac) , Malaysia Airlines menjelaskan bahawa kami tidak dapat tentukan secara tepat bila ACARS dimatikan, hanya bahawa ia berlaku dalam tempoh waktu spesifik: dari 01:07 - anggaran ketika pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia, dan transmisi terakhir ACARS berlaku - hingga 01:37, iaitu masa pelaporan seterusnya dijadualkan. Ini sebenarnya yang berlaku.

Ini tidak mengubah kepercayaan kami, seperti dinyatakan, bahawa sehingga ke titik ia keluar daripada liputan radar primer tentera, pergerakan pesawat itu adalah konsisten dengan tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat itu. Ini menjadi tumpuan pasukan penyiasat.

Adalah juga penting untuk ditegaskan bahawa masa tepat ACARS dimatikan tidak memberikan tekanan kepada operasi mencari dan menyelamat. Kami tahu bahawa kedudukan terakhir pesawat seperti disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa adalah sama ada di koridor utara atau selatan, yang menjadi fokus usaha mencari dan menyelamat. Keutamaan kami ialah mencari pesawat itu.

3. Siasatan Polis

Saya sedar ramai mengikuti dengan dekat dan mahu mengetahui perkembangan siasatan Polis Diraja Malaysia terhadap penumpang dan anak kapal MH370. Saya harap anda faham bahawa saya tidak boleh mengulas mengenai butiran siasatan itu, yang masih berjalan.

Saya juga ingin menyatakan bahawa usaha mencari MH370 adalah lebih penting daripada politik. Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan kita dan bersatu dalam waktu sukar ini tatkala kami menumpukan usaha untuk mencari pesawat itu dan 239 orang di dalamnya.

4. Kenyataan penutup

Operasi mencari MH370 terus menjadi keutamaan kami. Kami akan terus memberikan anda perkembangan terkini operasi ini, termasuk maklumat mengenai aset-aset digunakan, sebaik sahaja maklumat itu diperoleh.

Beberapa hari lepas kami telah menghubungi rakan-rakan kami di kawasan yang menjadi tumpuan operasi mencari. Kerjasama yang kami terima dalam fasa pertama diteruskan dalam fasa baharu ini. Malah, lebih banyak komitmen diberikan kepada kami dalam operasi rumit dan besar ini, melibatkan pelbagai negara.

Pada masa sama, doa kami terus bersama-sama anggota keluarga dan rakan penumpang dan anak kapal pesawat.

KEPUTUSAN SPM 2013

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t.

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon STPM 2013 kerana berjaya melonjakkan prestasi STPM sehingga 10.73%. Satu peningkatan yang sangat menarik. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya dan yang kurang berjaya, jangan risau, peluang masih terbentang luas untuk anda. Kejayaan seseorang itu terletak kepada kemahuan diri mereka sendiri. Gred dan markah bukan penyebab utama.

2. Esok akan menjadi hari yang paling besar kepada 470,395 calon SPM 2013. Tidak ketinggalan yang akan turut sama tidak lena tidur pada hari ini adalah guru-guru yang mengajar subjek SPM yang masing-masing mengejar KPI sekolah masing-masing. Pastinya, sekiranya guru tidak mencapai tahap KPI yang ditetapkan sekolah, guru tersebut perlu membuat laporan kepada pihak sekolah. 

3. Kepada calon SPM 2013, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan beberapa perkara, antaranya, sekiranya anda mendapat keputusan yang kurang cemerlang, usahlah berhenti berharap dan belajar. Sayang. Cari ilmu. Banyak peluang untuk anda di luar sana. Pusat kemahiran, Giat Mara, Politeknik, Tingkatan 6, UiTM, Kolej-kolej banyak lagi yang sanggup menerima pelajar walaupun keputusan mereka kurang memberangsangkan.

4. Berdasarkan pengalaman rakan-rakan, ramai yang berhenti setakat SPM kerana mengganggap bahawa sekiranya SPM mereka tak mencapai sasaran keperluan untuk memasuki universiti, kolej atau politeknik, jadi tak perlu lagi untuk mereka berusaha dan teruskan perjuangan pendidikan mereka. Ini persepsi salah!

5. Timbalah ilmu selagi ada peluang dan masa. Yakinlah bahawa ilmu itu sangat penting. Tapi kadang-kadang kita silap dalam menilai ilmu. Kebanyakan dari kita menilai ilmu berdasarkan gred semata. Kalau dapat A, maknanya pandai. Kalau gagal, maknanya tak pandai. Ini persepsi lapuk yang sudah tak boleh digunapakai. Perlu dibuang dan dibawa oleh aliran air yang deras.

6. Gred itu cuma alat. Ilmu itu yang utama. Jangan bersedih sekiranya gred SPM ada rendah. Pastinya Tuhan hendak menguji kita dengan pelbagai cara. Yakinlah bahawa ada jalan terbentang luas di hadapan mata kita. Terpulang pada diri kita sama ada nak menggapai peluang tersebut atau tidak. Kalau gapai, berjaya, tak gapai, gagal. Semudah itu sahaja.

7. Akhir kata, kepada adik-adik yang akan mengambil keputusan SPM esok terutamanya daripada SMK Tengku Ampuan Jemaah dan SMK Muadzam Shah, saya berharap anda mendapat keputusan seperti anda impikan. Jangan bersedih jika tidak seperti yang diimpikan. Peluang masih ada. Usaha tangga kejayaan!

Sekian, terima kasih.